Ada sebuah cerita yang menggamit hatinya.
Petang itu agak berbeda dari petang-petang yang lain. Kebiasaan gadis kecil itu akan meredah panas hangat petang desa berpantai itu untuk bermain bersama sepupu-sepupunya. Namun petang itu agak berbeda. Gadis kecil itu begitu ralit menghabiskan waktu senggang hangat petang bersama sebuah buku yang baru didapatinya dari sekolah pagi itu. Sebuah buku berwarna kuning lusuh namun masih cantik baginya. Buku tebal berkulit nipis berwarna coklat+putih.
Ada sebuah cerita yang menggamit hatinya.
Perkisahan seorang anak kecil yang tidak sempat merasai kasih seorang ayahanda sedari saat kelahirannya. Perkisahan hidup seorang anak kecil yang lahir dalam serba kemiskinan dan belajar berdikari mulai usia setahun jagung. Setahun demi setahun, dia kehilangan satu persatu insan-insan yang disayanginya. Tanpa belum sempat dia merasai kehangatan kasih mereka. Dia membesar tanpa panduan dari ahli keluarga. Bagaimana perjalanan hidup anak kecil itu diatur sebegitu rupa oleh Pemilik Taqdir. Untuk dia satu hari nanti bakal mengubah dunia.
Sejak petang itu, nama bocah kecil itu terus menepati ruang yang istimewa di dalam relung hatinya. Sejak dari lembaran mukasurat pertama, hatinya terus terpaut cinta pada susuk lelaki paling sempurna itu. Walau tidak pernah ketemu secara fizikal, serasa susuk itu berbicara dengannya lewat lembaran sirah dan tinggalan sunnah yang begitu berharga.
Ya. Itulah detik-detik perkenalan gadis kecil itu dengan susuk peribadi seorang tokoh yang paling berpengaruh di dunia. Anak kecil itu. Muhammad bin Abdullah.
Dan hingga ke saat ini, dirinya tidak pernah jemu untuk melusuri sirah dan sunnah tinggalan manusia agung ini. Sejak dari awal usia, dia sentiasa mengharapkan untuk bertemu mata menatap wajah insan istimewa ini, walau hanya sekadar dalam mimpi. Dan sedaya mampu, dia cuba untuk meneladani akhlaq rasul pilihan, walau hanya menyingkir duri dari jalanan.
Selawat dan salam untukmu ya rasullulLah. Kurniakanlah kami syafaat itu di hari yang tiada perlindungan melainkan arasy Allah Taala.
Ada panjatan doa yang panjang, untuk dia terpilih menjadi tetangga lelaki itu di syurga.
Dia Kekasih Allah
http://liriknasyid.com
Malu rasanya mengatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa
Ku pujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Didalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat
Selagi upaya ku turuti ajarannya
Apa terdaya ku amalkan sunnahnya
Moga didunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat
Kerana peribadinya aku terpesona
Kerana budinya aku jatuh cinta
Rindu ku padanya tiada terkata
Nantikanlah daku ditaman syurga
Sesungguhnya apa yang ku dambakan
Adalah cinta Allah yang Esa
Kerana cinta kepada Rasulullah
Beerti cinta kepada Allah
Lagu : Putra Aiman
Hijjaz Records Sdn.Bhd
Lirik : Ito Lara
Gurindam Entertainment
