Bismillahirrahmanirrahim
20.10.2010. Cantik tarikh hari ini. Sebagaimana cantiknya nombor pada tanggal 10.10.2010. Dan tanggal yang cantik ini hanya akan kembali menemui manusia dalam seribu tahun kemudian. 30.10.3010, atau 10.10.3010. Dan mustahil sahaja ada manusia yang lahirnya hari ini, untuk dia menikmati nombor kelahirannya seribu tahun lagi.
Namun, bukan itu yang ingin dibicarakan di sini.
Ada erti yang lain. Ada sesuatu yang tiba-tiba berbisik di hatinya.
Berkata-kata.
Dia terkadang sedar, alunan kata dan bahasa menjadi sesuatu yang lansung menarik dirinya, samada itu berupa lisan perbualan manusia atau luahan minda yang diterjemahkan dalam bentuk penulisan. Kerana asbab yang begini juga, dia begitu memilih sahabat-sahabat yang menulis di 'dinding muka-buku' mereka. Iya, kerana bahasa itu melambangkan budi dan akhlaq yang dimiliki. Mungkin ada yang tidak bersetuju di sini. Namun, baginya setiap yang zahir itu, asalnya dari hati yang dimiliki. Dan luahan rasa atau rasional minda, manusia menterjemahkan ia dalam lenggok-lenggok abjad dan huruf. Yang kemudiannya kaya menjadi bahasa.
Berkata-kata. Dan lafaz bahasa inilah yang lansung menarik dirinya.
Oh lebih-lebih lagi pada indah lenggok penulisan. Samada itu berupa majalah, makalah, atau novel. Dan sedari semalam, dirinya ralit meneliti bait-bait kata pada satu 'laman maya' ini. Laman maya itu tidak berbicara erti hati atau cinta atau hubungan makna antara dua manusia berbeda jantina (iya, manusia kan lansung amat teruja apabila hal-hal tersebut dibicarakan). Namun, laman maya itu berbicara tentang politik, masyarakat dan pemikiran manusia bertamadun sekular. Dalam lenggok bahasa yang baginya, puitis. Puitis itu sepertinya berpuisi, penulisan yang menyegarkan minda. Sedalam maksud yang ingin disampaikan tentang manusia dan politik, sesegar itulah makna dan hakikat yang terkandung di dalam setiap bait bicara. Sepertinya dia meneliti buku-buku karangan sasterawan negara, Samad Said, Zaaba dan Al Attas.
Ralit. Terkesima.
Politik dan manusia. Adalah dua elemen yang sentiasa menarik dirinya untuk berfikir dan berbicara. Hanya, dia benci dengan politik masani, yang terlalu bernafsu dan sekular. Dan persekitaran yang senang memberi label-label kepada individu-individu yang mempersoalkan tanggungjawab dan rasional manusia-manusia yang berkuasa. Mudah menghukum erti lainnya. Adakah tiada ruang kepada rakyat marhaen untuk bersuara? Di mana demokrasi jika itu yang diikrarkan lidah-lidah mereka?
Dan dia benci kepada mereka yang lansung tiada peduli pada isu politik ini. Masih berfikiran seperti anak-anak kecil. Sedangkan manusia dan kuasa lahir bersama, seiring wujudnya makhluk pertama bernama Adam dan Hawa. Oh mereka telah terlupa pada hakikat kejadian insan. Untuk abdi sebagai hamba. Dan memerintah sebagai KHALIFAH.
Ralit. Teruja.
Politik dan manusia. Adalah dua elemen yang suci. Namun nafsu dan rasa diri sebagai Tuhan telah mengotorkan elemen-elemen ini. Kekuasan, akan ditanyakan di hari akhir nanti. Itu hakikat yang manusia takkan dapat lari. Dan pada setiap diri, adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin akan ditanyakan tentang kepimpinannya [maksud AlHadith]. Moga kita ini dibangkitkan nanti, dengan kepimpinan yang telah disempurnakan.
Dan kerana itu, dia tidak pernah jemu untuk menekuni politik, kuasa dan manusia.
Berkata-berkata.
*************************************************************************************************
Ada seseorang bertanya hairan, kenapa dia begitu menyukai novel-novel karangan R.A.M. Iya, kerana penulisan beliau memberi asbab untuk saya terus berfikir dan berfikir. Dan salah satu yang menjadi tarikan dirinya untuk jatuh hati kepada lelaki itu, kerana dia berbicara, dengan bahasa Melayu.