01 July 2012

Seluas Langit & Bumi.


Bismillahirrahmanirrahim

Apa yang seluas langit dan bumi? 

Keampunan Allah SWT. 

Boleh sahaja jawapan-jawapan yang lain. Rahmat, barakah dan cinta Allah SWT, yang sudah pasti inshaAllah. Dan ini semuanya hanyalah satu bahagian dari rahmah Allah SWT, sedangkan untuk akhirat dan syurga itu disimpan sembilan puluh sembilan bahagian yang berbaki. Setinggi-tinggi makhluk dari langit, hingga serendah-rendah makhluk di dalam perut bumi semuanya mempunyai rizki dan haq masing-masing yang tidak pernah ada ketidak-cukupan dari satu bahagian kursi itu. Kasih sayang antara ibu dan anak, suami dan isteri, saudara seagama itu juga adalah dari satu bahagian kursi itu. Betapa besarnya rahmah kursi Allah SWT dan manusia adalah makhluk yang kurang syukurnya, malah sentiasa melakukan salah dan dosa.

Apa yang seluas langit dan bumi?

Keampunan Allah SWT.

"Keduanya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi." 
[ Al ‘Araf:23]
(Doa Adam & Hawa sebaik melanggar perintah Allah SWT).


Manusia adalah makhluk yang diciptakan dengan segala sifat kelemahan dan keterbatasan (limit). Walau dia seorang raja yang dipandang mulia atau seorang abdi yang dihinakan. Tiada makhluk bernama manusia yang sempurna dan hidup tanpa calar. Diciptakan manusia itu dengan fitrah yang indah, dan apabila fitrah ini dicalarkan dengan dosa, pasti hati bertemu gundah gulana dan rasa bersalah. Manusia itu begitulah sifatnya. Walau lisan sentiasa menidakkan gundah itu kerana ego yang bersumberkan hawa nafsu .

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmatAllah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "
[Az-Zumar:53] 

Pada titik terendah kehidupan, Tuhan itu mengajarkan tentang keampunan DIA. Apa lagi yang diharapkan oleh manusia jika bukan harapan-harapan, oh rupanya masih ada sinar yang terang.

“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" [Al Baqarah, 199]


Betapa besarnya rahmahNya, seperti itulah besarnya keampunan yang disimpan di sisiNya. Hanya tinggal kita ini mengangkat dua tangan menadah doa minta diampunkan segala doa. Seluas langit dan bumi keampunan Tuhan, ruang yang tiada titik noktah kerana Dia Maha Mengetahui hakikat kelemahan seorang manusia. Sebagaimana Rasul yang mulia meminta ampun beratus kali sehari, moga kita juga punya ingatan untuk sentiasa menadah tangan minta ampunan. Kerana DIA Al Ghoffar, Yang Maha Pengampun.

Dan sebelum tiba saatnya, lafaz “Ampuni daku ya Robb” sudah tiada makna.