Bismillahirrahmanirrahim
Fudhail Iyad berkata: "Mereka yang bermujahadah mencari ilmu, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan untuk beramal." Junaidi al-Baghdadi pula berkata: "Mereka yang bermujahadah dengan taubat, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan keikhlasan." AbduLLah bin Abbas pula berkata: "Mereka yang bermujahadah melakukan ketaatan, Allah akan tunjukkan mereka jalan pahala dan ganjaran."
Alhamdulillah. Telah berakhir fasa pertama minggu pertama peperiksaan semester kelima. Masih ada 3 subjek lagi sebelum berakhir perjuangan di semester ini. Sehari-hari di Julai, musim-musim kemuncak panas di tanah Tokyo ini benar-benar menguji kesabaran. Dengan banyaknya assignment alias report, dengan kenkyu dan program hujung minggu. Betapa kewajipan itu hanya diperuntukkan tika lapang sahaja. Sedih.
Dan kekuatan untuk menulis di sini juga datangnya bermusim. Tatkala idea bercambah datang untuk dilestarikan isinya di penataan keyboard ini, ada komitmen lain yang perlu didahulukan. Dan setiap kali berpeluang mengadap Biblo ini, ada kerinduan lain yang menyinggah datang. Sudahnya idea yang ada tidak mampu dikembangkan, tidak dilestarikan pada sebuah penulisan. Sedih.
Dan di ketika awalnya hari, tatkala mengadap kitab kesayangan, ada ayat itu. La tahzan, Allahu ma`ana. Janganlah bersedih, kerana Allah sentiasa bersama. Dan melintas teringat pada ayat, Innallaha ma`asyobirin. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar. Jangan bersedih, dan bersabarlah, kerana Allah itu sentiasa dekat pada hamba-hambaNYA>
Dipandang pada setiap ujian kehidupan, itu semua mengandungi hikmah 1001 pengajian buat umat yang berfikir. Ujian Allah sebagai bukti kecintaanNYA, sebagai peningkatan sabar dan ganjaran pahala buat kita. Pandanglah setiap sesuatu yang datang itu sebagai satu yang positif. Sedih, duka lara hanyalah sebahagian dari kehidupan. As part of life, kata-kata yang suka diulang-ucap oleh dia tatkala kita berbicara meluahkan resah rasa.
Memandang pada diri, ada banyak yang harus diperbaiki. Pada ilmu, iman dan amal. Harus bermujadah. Harus bersungguh-sungguh. Harus sentiasa diperhalusi, agar tiada unsur-unsur mazmumah pada buah-buah amal itu.
Ya Robbi, kurniakan kekuatan kepada langkah kaki ini. Kurniakan thabat kepada jiwa ini. Dan janganlah ditarik nikmat ini, sesudah Engkau kurniakan hidayahnya kepada kami.