10 August 2005

Pendakian kedua kali

Bismillahirrahmanirrahim


3776 meter. 4.20 pagi. Berjaya tiba di puncak gunung tertinggi di Jepun ini, gunung berapi tua, Gunung Fuji. Kejayaan menakluk puncak Fuji pada pendakian kedua, setelah pendakian kali pertama hanya sempat menjejak perhentian ke-8. Hanya tinggal beberapa kilometer sebelum puncaknya.

Alhamdulillah. Segala puji pagi DIA, yang telah memberikan kesempatan ini, kejayaan menakluki Fuji. Tetapi bukan kejayaan tiba di puncak itu yang mejadi kebanggaan. Ada berjuta pengalaman lain yang lebih bernilai, yang tidak mampu ditafsirkan pada pena, yang tidak mampu diucapkan pada lisan, hanya ianya tetap kekal segar indah dalam ingatan. Menjadi panduan pada langkah seterusnya.

Nilai itu amat mahal. Harga sebuah persaudaraan. Harga sebuah kesungguhan. Harga sebuah kepenatan. Kejayaan. Kesyukuran. Padanan semuanya menambah kematangan dalam diri sebenarnya. Merenung semula kesungguhan dan ketaatan diri untuk terus kekal dalam perjuangan ini.

Gunung ganang. Bukit bukau. Langit tiada bertiang. Hutan menghijau. Tanah merah berpasir. Semuanya indah ciptaan Yang Maha Kaya. Semuanya mengagumkan pandangan mata kasar dan mata hati. Dan pastilah yang memiliki semua keagungan ini lebih Hebat, lebih Indah dan lebih Kuasa. Mewujudkan keinsafan dalam diri, aku ini adalah hamba sebenarnya.

Dakilah setinggi Everest. Terbanglah setinggi bulan. Jelajahlah semua lautan. Taklukilah seluruh dunia. Namun, kejayaanmu itu tidak mampu menyaingi kuasa Yang Esa. Kembalikan ketundukan dan kepatuhan padaNYA yang Maha Memiliki Segala. Dan sedarlah hakikat penciptaan diri, sebagai hamba khalifah Allah, pemegang amanah, memimpin dunia dustur Ilahi.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan bersilih gantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.
Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata);
"Ya Rabbana, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari api neraka."
[Ali Imran, 3:190-191]