Bismillahirrahmanirrahim
Panas terik matahari tengahari membakar kulit. Kelihatan seorang lelaki berlari meredah kepanasan itu menuju ke sebuah rumah. Panas-panas begini?. Manusia umumnya selesa di bawah teduhan atau redup rumah masing-masing aja. Tetapi lelaki itu apa urusannya sehingga sanggup meredah panas begini. Tergesa-gesa dia mengetuk pintu sebuah rumah itu.
"Jibril telah mewahyukan kepadaku. Allah Azza Wajalla telah memerintahkan aku untuk berhijrah. Bagaimana kamu?"
"Alhamdulillah. Khabar ini telah lama ku tunggu ya Rasulullah."
Lelaki itu Rasulullah. Rumah yang diketuknya di tengah panas terik matahari padang pasir itu ialah milik Abu Bakar. Asrar. Menjaga rahsia bukan hanya menunggu waktu malam senyap sunyi, tetapi itulah kebijaksanaan yang diilhamkan oleh Tuhan kepada kekasihNya.
Perancangan. Gerak kerja. Penghijrahan. Semuanya mengandungi nilai yang tinggi dalam sudut pengorganisasian. Look before you leap. Dalam satu peristiwa hijrah ini Rasulullah menunjukkan pelbagai strategi yang hebat. Bermula dari khabar kerahsiaan di tengah hari, penyamaran Ali, penyembunyian di Gua Hira`, pengupahan orang musyrik sebagai penunjuk jalan, pengambilan jalan jauh dan sebagainya. Pada sirah itu sendiri adanya satu gerak kerja yang sistematik dan berstrategi.
Makanya, pada diri kita sendiri, yang mahu menjadi penyambung tugas Rasulil Ameen ini, benar-benar memerlukan satu gerak kerja yang tersusun. Dan alhamdulillah, di kesempatan semingguan ini, Allah hantarkan lelaki itu untuk mengajari kita akan segala ilmunya. Bertuah amat ya.
Setiap kali berbicara tentang perancangan dan strategi ini, hanya satu kata-kata yang sentiasa diulang main di minda. Kata-kata warisan dari kuncinya gerbang ilmu itu.
Kebenaran yang tidak terancang akan ditewaskan oleh kebatilan yang terancang
Ayuh, bangun semua. Rancanglah setiap gerak kerja. Kerana janji Allah tetap ada, panji kemenangan itu milik kita.