03 November 2005

30 Hari Mencari Cinta [1426H]



Bismillahirrahmanirrahim


Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walillahil hamd.

Khamis. 1 Syawal 1426H. 3 November 2005. Telah tiba hari yang dinantikan, umat Islam beraya meraikan kemenangan. Satu hari yang padanya diharamkan berpuasa. Satu hari di mana semua umat tidak kira kecil besar, tua muda, sihat atau keuzuran, semuanya disyariatkan keluar bertakbir, bertahlil, bertahmid membesarkan Tuhan Rabbul Ikram. Satu hari yang disyariatkan padanya untuk diraikan.

Lantas kemenangan itu amat bermakna sekali. Kemenangan kita telah kembali kepada fitrah azali. Dalam pertarungan 30 hari yang mendebarkan.

Menelusuri Ramadhan, kita melihat betapa diri ini mudah bangkit bangun meraikan malam-malam dengan tahajjud dan tilawah, siang dengan ibadah shaum dan pemeliharaan diri dari sebarang hal yang sia-sia. Ibadah puasa itu menjadi daya utama yang menggerakkan diri mencari keseimbangan hawa nafsu dan fitrah ruhani. Dua tarikan yang sentiasa berperang dalam diri insan, mencapai keseimbangan apabila menjelma Ramadhan.

Dan keseimbangan inilah yang dimaksudkan dengan menang. Seimbang di dalam tarikan duniawi dan akhirat, dalam tarikan jasmani dan ruhani, dalam tarikan nafsu dan fitrah. Keseimbangan itu dicapai dengan shaum dan solat. Dan apabila tarikan ini telah berjaya diseimbangi, makanya kita telah menang. Menang menggapai cinta Ilahi, menang untuk kembali kepada fitrah azali.

"Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu mau`izhah (peringatan) yakni (Islam) daripada Tuhanmu dan penawar bagi yang ada di dalam dada kamu dan telah datang petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman."
[Yunus: 57]


Itulah fitrahnya. Itulah Islam. Sumber pegangan hidup manusia dari Tuhan Al Khaliq, penawar kepada sifat-sifat mazmumah yang beraja di jiwa dan nur hidayah kepada mereka yang percaya (mukmimun).

Telah berakhir pencarian 30 hari. Telah tiba 1 Syawal yang dirai. Makanya sesama manusia itu perlu saling mengikhlaskan diri, saling bermaafan, saling mengasihi. Sebagaimana telah berjaya dalam mencari cinta Ilahi, begitulah dalam mencari cinta manusia. Dalam erti kasih sayang persaudaraan dan persahabatan.

Cinta manusia. Bukan bermakna mencari keredhaan mereka sehingga melanggar syariat Allah Taala. Namun, di sini terletak keindahan Islam, habblun minalLLah wa habblun minnas.. Hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Kerana sesungguhnya hidup kita ini bersangkutan dengan manusia lainnya. Dan atas dasar cinta manusia, cinta Ilahi, ada hakikat yang mendalam pada erti sebuah keikhlasan, sebuah kemenangan.

" Sesungguhnya kami semua ini adalah kepunyaan Allah dan kepada-NYA kami akan kembali."
[al-Baqarah, 2:156].


Taqobbalallahu minna wa minkum
Kullu aam wa antum bi khair
Minal `aidin wal faizin