Bismillahirrahmanirrahim
Jumaat ini kita balik kampung. Kita ziarah Ayah Long. Kita ziarah Mak Ngah. Kita beraya enam!
Itulah ucap kata dari ayah setiap kali genap seminggu Syawal. Orang kampung kita panggil Raya Enam. Tak tahulah istilah kampung orang lain. Kita masih kecil. Hanya tahu Raya Enam itu bererti balik kampung ziarah saudara mara sebelah ayah. Dan balik kampung itu bererti menambah tabungan duit raya =). Kecil lagi. Hanya ingat duit.
Dan kini barulah sedar, Raya Enam itu bererti telah sempurna melaksanakan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Orang dulu-dulu, selagi belum sempurna puasa enam hari Syawal, belum dinamakan Raya. 1 Syawal hanya luang kesempatan untuk bertakbir, berkhutbah dan berziarah kaum keluarga terdekat. Dan hari-hari yang selainnya dipenuhi dengan amal puasa sunat.
Dan kampung kita, kemeriahan raya itu benar-benar dirasai usai satu dua minggu Syawal. Kampung kita begitulah. Tak tahulah kampung orang lain =).
"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawwal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa sepanjang tahun."
[HR Muslim]
[HR Muslim]
Hadis ini menjadi hujjah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan dengan berpuasa sebulan penuh.
Alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini diteruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba. Hamba yang patuh. Hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya.
Di dalam hadis tadi, Rasulullah SAW menyatakan bahawa puasa 6 hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendakiNya.
Dan teruslah berisytiqamah dengan amal-amal kebiasaan Ramadhan. Sedeqah, qiamullail, tadarrus dan tadabbur Al Quran. Semoga madrasah Ramadhan itu sentiasa dirasai.
" Dia (ALLAH) memberikan hikmah (kebaikan) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal ".
[Al Baqarah, 2:269]
[Al Baqarah, 2:269]
Jom! Perbanyakkan amal-amal sementara masih berpeluang menghirup udara di bumi Allah Taala ini. Sementara kita ini masih sedar yang kita ini makhluk yang berakal.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. WalilLLahilhamd.