Bismillahirrahmanirrahim
Di suatu senja yang indah nyaman. Kedengaran azan telah dilantunkan. Merdu dan mendayu-dayu. Ramadhan 1426H telah berangkat meninggalkan semua. Telah pergi Ramadhan yang diberkati.
Alhamdulillah, Ramadhan ini berjaya mencapai target beberapa perkara. Dengan kesempatan yang diberikan Ilahi, berjaya mengkhatami Al Quran pada sore 24 Ramadhan yang lepas. Sebelumnya bermurajaah Juzuk Amma bersama sahabiah seperjuangan. Alhamdulillah, berjaya juga menghadirkan diri di Hiro-o untuk qiam di Jumaat terakhir, sebelum keberangkatan. Dan sempat mengulang semula tadarrus Al Quran, bersama insan kecintaan.
Melihat memandang Ramadhan yang pergi, terasa tiada apa yang perlu dibanggakan dengan amal pada kali ini. Kesedihan dan kehambaran yang lebih dirasai. Mengingati ini semua mungkin kesempatan terakhir kali.
Mungkin kerana inilah Ramadhan terakhir kali di tanah permukiman sementara. Dan mungkin kerana inilah kesempatan terakhir untuk bersama berjuang dengan Ramadhan bersama dengan teman-teman akhawat seperjuangan. Atau mungkin inilah Ramadhan terakhir bagi usia kehidupan ini. Tiada siapa yang mendoakan untuk mati, namun andainya kematian itu yang terbaik, maka matikanlah pemilik jiwa ini dalam syahid dan iman padaNYA.
Alhamdulillah. Pertama kali, setelah sekelian lama, Ramadhan kali ini disambut bersama dengan insan kecintaan. Berjemaah bersama. Beriftar. Bersahur. Bertadarrus. Pada kesempatan yang begitu tenang dan indah. Lantas kesyukuran itu dipanjatkan pada Dia, Rabbul Hafiz.
Selamat tinggal Ramadhan. Semoga berkesempatan untuk bertemu semula nanti tahun depan. Semoga sehingga saat itu, diri akan sentiasanya kekal dengan tarbiyah dari madrasah Ramadhan ini.
" Barangsiapa berdiri (beribadah) pada bulan Ramadhan, atas dasar iman dan mengharap keredhaan-Nya, maka ia bakal diampuni dosa-dosa yang pernah dilakukan."
[HR Bukhari Muslim]
[HR Bukhari Muslim]
Ampunilah ya Tuhan, akan dosa hamba ini segala-galanya.