Bismillahirrahmanirrahim
"Sekiranya kami menurunkan Al Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu melihatnya tunduk terpecah-belah kerana takutkan Allah!"
[QS Al Hasyr, 59:21]
"Sekiranya kami menurunkan Al Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu melihatnya tunduk terpecah-belah kerana takutkan Allah!"
[QS Al Hasyr, 59:21]
Ramadhan adalah bulan diturunkan Al Quran. Tanggal 17 Ramadhan? Hmm.. dia tidak pasti tentang itu. Terlalu banyak khilaf ulama yang dikajinya dan dia berserah kepada pendapat yang terkuat. Namun baginya, bukanlah tarikh itu yang menjadi titik vital. Sebaliknya sejauh mana penghayatan individu-individu muslim dan mukmin dalam meraikan Al Quran. Adakah perlu menunggu 17 Ramadhan (setiap tahun) untuk mengingati AlQuran? Namun, itulah yang menjadi budaya masyarakat sekitarnya.Sebagaimana para sahabah apabila menerima ayat-ayat AlQuran, laksana tentera yang menerima arahan dari Panglima. Begitu taat dan patuh. Mereka tidak sesekali berpaling kepada ayat yang baru, melainkan telah dihafal dan diamalkan ayat sebelumnya. Mereka meletakkan suruhan Allah di hadapan. Begitu takut apabila amal tidak berpadanan dengan arahan dari langit. Begitu gembira apabila mendengar khabar-khabar syurga. Begitu gelisah apabila mendepani ayat-ayat azab dan an-nar (neraka). Oh sungguh mereka adalah contoh terbaik dalam mencari makna meraikan Al Quran.
Penghayatan yang bermula dari niat (azam), iqra (membaca), tadabbur ayatulkitab (memahami) dan hafizul kitab (memelihara isi kandungannya). Itulah makna meraikan Al Quran, apabila kita meletakkannya sebagai dustur kehidupan (perlembagaan). Penghayatan itu sukar sekali, jauh perjalanannya dan berat bebannya. Namun, bukankah setiap kejayaan itu perlu disertai pengorbanan? Nah, di sana lah nikmatnya apabila mujahadah ini diterima oleh Tuhan Robbul Jalil.
Al Quran, qalam cinta dari Langit yang kerap kali dilalaikan oleh manusia. Mereka hanya menjadikan ayat-ayat tertentu sebagai perhiasan di dinding-dinding rumah. Apabila ditanya makna, terus senyap tidak tahu menjawab. Mereka hanya mencari ayat-ayat Al Quran sebagai penawar penyakit. Apabila telah disembuhkan, lansung dilupakan. Dia menyebut ini bukan bermakna tidak betul apa yang dibudayakan itu. Namun, apabila Al Quran ini diambil separuh-separuh, sekadar kehendak hati, jangan disalahkan sesiapa apabila Tuhan tidak pernah memberikan kemenangan.
Ramadhan bulan Al Quran. Ganjaran yang disiapkan oleh Allah Al Ghani terlalu banyak untuk hambaNYA. Ganjaran berupa pahala yang takkan putus dan syurga yang terlalu indah untuk difantasikan. Dua kali pahala untuk mereka yang bertatih dalam membaca ayat-ayat Al Kitab. Dan berganda-ganda pahala untuk mereka yang melazimi tilawah dan tadabbur, di penghujung siang (maghrib) dan di penghujung malam (sahur).
“Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an; petunjuk kepada manusia..”
[QS Al-Baqarah,2 :185]
[QS Al-Baqarah,2 :185]
Telah diberikan qalam yang menjadi panduan hidup. Telah disampaikan praktikalnya dari sunnah Rasul Al Mustafa. Sungguh beruntung mereka yang berkerja mendekat diri kepada ayat-ayat cinta dari Ilahi Robbi. Dan sungguh celaka manusia yang meninggalkan Ramadhan tanpa dia mendapat apa-apa faedah dan ganjaran.
Tuhan. Ada doa. Untuk tidak menjadi sebahagian dari yang celaka.